Dikuasakan oleh Blogger.

Bilik Dalam Bas

By 8:43 PG , , ,


Keunikan konsep menyebabkan orang ramai merasa terpanggil untuk merasai sendiri pengalaman menginap di Bustel Klebang yang terletak di Melaka ini.

Bukan lagi sesuatu yang baru kerana keunikan Bustel telah pun diketahui ramai. Namun, terdapat beberapa fakta penting yang masih tak diketahui di sebalik kewujudannya. Oleh itu, LD mengambil kesempatan berkongsi serba sedikit maklumat mengenai chalet unik yang berkonsepkan bas ini. 


Bustel Klebang merupakan idea kerajaan Melaka dalam usaha menambah produk pelancongan yang sedia ada di Bandar Raya Bersejarah itu. Di samping itu, ia juga bertujuan membantu menjana pendapatan ekonomi penduduk di persekitarannya.



Chalet ini sebenarnya telah wujud sejak tahun 2012 lagi. Namun, ia hanya dipromosikan baru-baru ini selepas hak penjagaannya diserahkan kepada seorang ahli perniagaan bernama Encik Muhammad Khairi Bin Ismail.



Bustel Klebang mempunyai dua buah variasi bilik yang terdiri daripada Queen dan Single di dalam setiap bas. Setiap satunya mengenakan caj sewaan sebanyak RM 80 semalam pada hari biasa dan RM 180 pada hujung minggu.



Kedua-dua variasi bilik tersebut selesa dan memuaskan hati walaupun ditata serba ringkas. Setiap satunya dilengkapi dengan bilik air, almari pakaian dan TV. Di samping itu, setiap bilik juga disediakan sekali dengan penunjuk arah kiblat, sejadah dan tuala.



Sebanyak 16 buah bas telah digunakan untuk dijadikan sebagai inapan. Setiap satunya mempunyai dua buah bilik iaitu Queen di bahagian depan dan single di bahagian belakang. Setiap inapan tersebut dibezakan antara satu sama lain melalui nama-nama zon yang terdapat di Melaka seperti Ayer Keroh, Bandar Hilir dan batu Berendam.  



Menurut Encik Muhammad Khairi, Bustel mengetengahkan konsep Islamik. Ia menawarkan inapan khusus kepada mereka yang telah berkeluarga dan pasangan yang sudah berkahwin sahaja.   



Selain inapan di dalam bas, terdapat juga kemudahan kafe, kedai serbaneka dan tandas awam di sini. Kesemuanya ditata dengan konsep yang sama iaitu menggunakan bas sebagai premisnya. Dianggarkan, lebih kurang 28 buah bas lama telah digunakan untuk tujuan tersebut.



Mereka yang berminat merasai pengalaman menginap di Bustel Klebang boleh menghubungi pihak pengurusannya di talian 019-741 4113 atau datang terus ke pejabat mereka.



INFO TAMBAHAN

Bustel berdekatan dengan beberapa produk pelancongan terkenal Melaka seperti Muzium Kapal Selam dan Makam hang Tuah.

Aktiviti menarik seperti Kereta Kuda, ATV, beca dan layang-layang turut tersedia menanti pengunjung yang menginap di Bustel Klebang.  

Bustel Klebang betul-betul berada di depan sebuah lagun berpantai yang boleh dijadikan sebagai tapak rekreasi bersama keluarga pada waktu petang.

Hanya 15 minit diperlukan dari Bandar Melaka ke Bustel Klebang yang dianggarkan mempunyai jarak sekitar 7 kilometer.



You Might Also Like

0 comments