Dikuasakan oleh Blogger.

WADAH SENI JALANAN 2: LAMAN SENI 7

By 9:00 PG , ,


Lebih besar dan lebih banyak karya seni yang dicoretkan dan dipamerkan di Laman Seni 7 ini berbanding apa yang di Laman Seni 2.

Laman Seni 7 mempunyai konsep yang sama dengan Laman Seni 2. Ia merupakan projek kesinambungan daripada Laman Seni 2 yang berjaya membuka mata dan merangsang minda orang ramai. Bezanya, Laman Seni 7 berada di kawasan yang lebih besar dan memuatkan lebih banyak karya.


Laman Seni 7 terletak di lorong belakang Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam. Ia betul-betul berada ditempat yang sama dengan lot bangunan kedai-kedai tudung. Kedudukannya tak jauh daripada pintu masuk bahagian belakang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.


Masih mengekalkan konsep lorong belakang, Laman Seni 7 mempunyai ukuran lebih 250 meter. Ia menempatkan lebih daripada 30 karya hasil karyawan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Begitu juga tema dan konsepnya. Ia pelbagai dan tak tertumpu pada satu jenis sahaja.


Karya-karya di sini lebih menyerlah dan menarik. Setiap satunya mendukung ekspresi karyawan terhadap isu semasa, idola dan pandangan mereka terhadap alam fantasi dan bumi bertuah Malaysia ini. Ia tak hanya dicoretkan di dinding sahaja, malah turut dicoretkan sekali di atas jalan.


Terpegun LD dengan karya-karya yang ada... Setiap satunya mempunyai mesej yang boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian. Antara karya yang menarik minat LD ialah potret besar papa rock Ramli Sarip, Bekantan dan Orang Utan. Setiap satunya mempunyai keunikan yang tersendiri dan mampu merangsang minda untuk berfikir.


Difahamkan, karya-karya di sini dipilih melalui pertandingan laman Seni 7 Shah Alam yang menyaksikan 4 kategori dipertandingkan iaitu ‘3D Painting’, ‘3D Installation’, ‘Street Furniture’ dan ‘Painting On Site’. 10 pemenang daripada setiap kategori telah dipilih untuk mengikuti projek ini.


Macam juga Laman Seni 2, Laman Seni 7 dibangunkan hasil inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Ia bertujuan menjadikan lorong belakang khususnya kawasan komersial sebagai kawasan yang selamat, bersih, indah dan boleh dilawati oleh orang ramai pada setiap masa.


LD harap, tempat ini kekal cantik dan indah seperti sediakala. Jangan ada pula tangan yang gatal merosakkan atau mengotorkan tempat ini. Sama-samalah kita menjaga Laman Seni 7 ini agar ia menjadi salah sebuah tempat menarik mesti kunjung yang ada di Shah Alam. Lebih penting, hargai setiap karya yang dihasilkan dengan menghormatinya...


 INFO TAMBAHAN

Laman Seni 7 bebas dilawati oleh sesiapa sahaja tanpa mengenakan sebarang bayaran masuk.

Selain menyerlahkan kreativiti bakat anak bangsa, Laman Seni 7 juga bertujuan menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Shah Alam.

Tempat ini sesuai dijadikan sebagai lokasi fotografi untuk apa sahaja tujuan termasuk perkahwinan ataupun sampul album.

Laman Seni 7 ini telah wujud sejak bulan Jun yang lalu dan ia masih lagi terpelihara dengan baik walaupun sebahagiannya mula menunjukkan tanda-tanda kerosakkan.

You Might Also Like

0 comments