Dikuasakan oleh Blogger.

Eko Resort Terbaik Asia

By 2:00 PTG , ,


Menjaga keindahan alam semula jadi adalah satu daripada sebab kenapa wujudnya banyak resort eko di negara Asia dewasa ini. Berikut adalah antara resort terbaik yang mendapat pengiktirafan dunia kerana berjaya mendekatkan orang ramai dengan alam semula jadi melalui konsep eko yang diketengahkan.  


El Nido Resort
Miniloch, Filipina

Resort ini adalah antara resort eko terbaik yang ada di Asia. Ia berada di dalam gugusan Pulau Palawan. Resort ini mengutamakan polisi penjagaan alam sekitar yang efisien dan konsisten. Aktiviti yang dijalankan di sini semuanya mempunyai impak yang rendah dan tidak mengganggu alam sekitar seperti snorkel, berkayak, menikmati sinaran matahari di tepi pantai ataupun memanjat bukit.


98 Acre Resort And Spa
Ella, Sri Lanka

Setiap chalet yang terdapat di sini dibina dengan bahan-bahan kitar semula yang alami seperti kayu dan batu. Ia bertujuan mendekatkan lagi penginapnya dengan alam semula jadi, sekali gus menerapkan mereka dengan ilmu dan pengetahuan terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Agak rustik tetapi reka bentuknya elegan dan melambangkan gaya hidup penginapnya yang sentiasa mementingkan kemewahan.  


The Sarojin
Phuket, Thailand

Terletak di Pulau Pha Nga, Sarojin adalah resort eko terbaik yang terdapat di sana. Ia tampil dengan reka bentuk moden tetapi mengekalkan prinsip yang melestarikan alam semula jadi. Resort mewah bertaraf lima bintang ini amat sesuai untuk mereka yang mencintai kedamaian dan kehijauan alam sekitar. Ia mencetus inspirasi yang membuat jiwa merasa tenteram dan sempurna.   


Ninh Van Bay Resort
Nha Trang, Vietnam

Ninh Van Bay Resort diiktiraf sebagai resort eko yang menjaga baik kecantikan alam semula jadinya. Bilik-biliknya direka mengikut bentuk bumi dan menggunakan 100% bahan semula jadi yang terdiri daripada kayu, batu dan atap rumbia. Tetamu yang menginap di sini bukan sahaja ditawarkan dengan pemandangan laut yang cantik, malah mereka juga ditawarkan dengan perkhidmatan mewah yang menyenangkan.


4 Rivers Floating Lodge
Koh Kong, Cambodia

Rumah rakit berkonsepkan khemah ini direka dengan penuh kemewahan. Ia berada jauh di ceruk pedalaman Sungai Tatai. Hanya bot sahaja yang menjadi pengangkutan utama untuk ke sini. 4 Rivers Floating Lodge walau bagaimanapun tetap menjadi pilihan pelancong dari serata dunia. Ia menawarkan pengasingan yang menyenangkan di dalam kawasan hutan yang eksotik.


Muang La Resort
Oudomxay, Laos

Di kiri dan kanannya penuh dengan hutan, gunung ganang, kolam air panas dan sungai yang berusia ribuan tahun. Biarpun nampak mundur tetapi panorama Muang La Resort dianggap yang terbaik kerana tidak ternoda dek pembangunan. Kualitinya sebagai perkampungan semula jadi adalah asas penting yang membuatkan Muang La Resort dihormati sebagai resort eko terbaik di Laos.


Village Above The Clouds
Munduk, Bali

Village Above The Clouds ataupun Desa Atas Awan boleh disifatkan sebagai resort yang unik. Ia membariskan banglo dan vila yang bercirikan reka bentuk tempatan hasil sentuhan arkitek terkenal Bali. Resort ini terletak di kaki bukit Munduk Andong Kelod. Ia merupakan simbolik penempatan kuno yang mementingkan penjagaan dan penghayatan ke atas alam semula jadi. 










Aureum Inle
Inle Myanmar

Sebahagian daripada tanah di tasik terkenal Mynamar ini telah dijadikan resort yang mewah oleh Aureum Palace Hotel dan Spa. Biarpun terpalit sedikit pembangunan, namun pihak pengurusannya tidak mengabaikan kualiti penjagaan alam semula jadinya. Persekitarannya masih lagi menampilkan pesona sebenar Inle yang kaya dengan keunikan flora dan fauna serta budaya masyarakatnya. 


Crosswater Ecolodge
Guandong, China

Dianggap sebagai syurga alam semula jadi kerana Crosswater Ecolodge jauh daripada hiruk pikuk kota dan pencemaran. Ia dibina berdasarkan pendekatan holistik yang mengutamakan keselesaan dan kesempurnaan alam sekitar. Di samping itu, resort yang menjadikan buluh sebagai identiti binaannya juga dibina khusus untuk meraikan konsep pelancongan eko.

EKSTRA
Resort eko merujuk pada resort, penginapan ataupun hotel mewah yang menawarkan perkhidmatan berdasarkan tuntutan memelihara serta memulihara alam semula jadi.

You Might Also Like

0 comments