Dekorasi Pelik Bangunan Silam Haji Lane
Bangunan berwarna-warni dengan dekorasi vintaj era terdahulu mampu
mengujakan sesiapa sahaja yang menziarahi Haji Lane.
Begitulah persepsi pertama ketika LD melangkah masuk ke
Haji Lane yang terletak di Singapura ini. Suasananya mewujudkan sifat ingin
tahu untuk terus meneroka blok demi blok yang terdapat di sana. Mana taknya, di
tengah bandar yang serba moden ini tiba-tiba wujud bangunan rumah kedai aneka
warna yang mengenakan dekorasi vintaj era sebelum peperangan.
Haji Lane merupakan
sebahagian daripada penempatan yang terdapat di Kampung Glam. Ia berada di antara
kawasan bandar terancang Kallang dan Rochor. Kawasan ini pada asalnya adalah
bangunan rumah kedai era sebelum peperangan yang terbengkalai. Namun, ia telah
diberikan nyawa oleh para usahawan muda dan pereka fesyen indie yang tampil dengan
produk kontemporari.
Barisan kedai yang
terdapat di Haji Lane terdiri daripada butik pakaian, kafe dan aneka jenis
kedai. Setiap satunya mendukung konsep dan dekorasi yang berbeza-beza. Namun,
majoritinya tertumpu ke arah idea hipster yang mampu memberikan getaran rasa
kelainan yang tak diduga. Unik, segar dan kreatif walaupun bangunan rumah kedai
yang ada di sana usang dan ketinggalan zaman.
Haji Lane tak pernah
sunyi daripada menjadi tempat kunjungan orang ramai terutamanya golongan remaja.
Majoritinya menjadikan tempat ini sebagai lokasi penting untuk pertemuan dengan
rakan-rakan. Tak kurang juga yang menjadikannya sebagai tempat untuk merakam
momen. Semuanya disebabkan oleh kelainan konsep yang diguna pakai oleh kawasan
tersebut.
Bagi mereka yang
bercadang ke Singapura, berkunjung ke Haji Lane perlu dijadikan sebagai satu
daripada pengisian penting. Kelainan konsepnya dilihat mampu mencetus inspirasi
untuk menghasilkan serta mendapatkan sesuatu yang segar dan kreatif. Di samping
itu, ia juga boleh dijadikan sebagai lokasi membeli-belah dan tempat makan yang
ideal ketika menziarahi Kota Singa.
EKSTRA
Haji Lane berada dekat dengan beberapa tempat popular
yang terdiri daripada Arab Street, Baghdad Street dan Bussorah Street.
Dilabel sebagai Muslim Quarter kerana sejarahnya yang
bermula sebagai penempatan Melayu Islam di Singapura.
Selain mempunyai suasana yang tenteram, Haji Lane juga
mempunyai persekitaran yang bersih dan kondusif.
PETA HAJI LANE
0 comments