Dikuasakan oleh Blogger.

Apa Ada Dengan Batam?

By 5:25 PTG ,


Namanya bukan sesuatu yang asing tetapi apabila minta digambarkan mengenai situasinya ramai yang gagal menjelaskan secara terperinci...

Batam sebenarnya adalah destinasi percutian yang menyeronokkan kerana terdapat banyak tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi. Tidak kira, sama ada di tengah bandar ataupun di pantai. Majoritinya menyediakan keperluan percutian yang dimahukan seperti hotel, tempat makan dan pusat membeli-belah.

Bagi orang-orang Johor dan Singapura, mereka menyifatkan Batam sebagai syurga membeli belah kerana pulau ini kaya dengan pusat membeli-belah yang menjual pelbagai jenis barangan dengan harga yang murah. Antara yang terkenal ialah Ramaiyana Mall Batam, Mega Mall, Batam Centre Mall, Kepri Mall, Panbill Mall, Harbourbay Mall dan Nagoya Hill Superblock.

Dalam banyak-banyak itu, Nagoya Hill Superblock adalah pusat membeli belah yang paling diminati ramai. Pusat membeli belah ini bukan sahaja besar, malah cantik dan mempunyai suasana yang kondusif. Di kiri dan kanannya pula terdapat hotel, pejabat, bank, restoran dan pelbagai jenis rangkaian kedai yang menjual keperluan harian.

Nagoya Hill Mall berdiri megah di Jalan Teuku Umar yang terletak di tengah-tengah bandar Batam. Pusat membeli belah setinggi tiga tingkat ini mempunyai keluasan lebih kurang 60,000 meter persegi. Daripada barangan elektronik sampailah ke fesyen, semuanya ada dijual di sini. Terdapat juga tempat hiburan seperti pusat karaoke keluarga, panggung wayang dan pusat permainan video.

Ramai yang berkunjung ke Nagoya Hill Superblock adalah golongan wanita kerana koleksi pakaian, minyak wangi, kasut dan aksesorinya menakjubkan. Namun, majoritinya adalah barangan tiruan. Sebut sahaja jenama-jenama seperti LV, Chanel, Aigner, Burberry’s, Lacoste, Jeep dan Armani Exchange. Semuanya boleh didapati dengan mudah dan murah di sini.

Yna Johari, salah seorang penduduk Batam berkata, Nagoya Hill Mall merupakan pusat membeli belah terbesar di Batam. Ia dibina oleh pelabur dari Jepun sekitar tujuh tahun yang lalu. Pusat membeli belah ini sering menjadi tumpuan penduduk dari Singapura dan Johor Baharu yang gemar membeli belah.

“Di sini, semuanya murah kalau nak dibandingkan dengan Malaysia dan Singapura. Pakaian, gajet elektronik dan barangan lain juga murah. Kalau yang bukan asli lagilah murah. Yang mahal di sini cuma makanan dan ubat-ubatan,” tambah Yna Johari Saputra lagi. 

Batam boleh diakses dengan laluan laut dan udara. Pintu masuk laluan lautnya boleh diakses melalui lima buah tempat iaitu Harbourbay, Nongsapura Ferry Terminal, Sekupang dan Batam Centre International Ferry Terminal. Manakala laluan masuk udaranya pula boleh diakses melaluinya satu-satunya lapangan terbang yang ada di sana iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim.  

Terdapat banyak feri dari The Zon Stulang laut, Johor Baharu yang menuju ke Batam. Lebih kurang satu jam satu feri berulang-alik ke pulau tersebut. Tambang yang dikenakan juga berpatutan, sesuai dengan tempoh perjalanan dan keselesaan feri itu sendiri. Tak lama, hanya satu jam setengah sahaja masa diperlukan untuk sampai ke pulau ini.

Penduduk Batam dikatakan lebih gemar menghabiskan masa di pusat membeli-belah berbanding tempat-tempat awam yang lain. 

Urus niaga di sini semuanya menggunakan Rupiah Indonesia dan bukan Dollar Singapura sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak. 


INFO TAMBAHAN:

v  Plak dan soket yang digunakan di Batam sama seperti yang digunakan di Indonesia ialah jenis F iaitu plak dua pin.

v  Harga makanan di Batam masih murah kalau nak dibandingkan dengan kebanyakan tempat di Malaysia.

v  Perkhidmatan udara ke Batam disediakan oleh Malindo Air dan Fireflies yang berpangkalan Subang Sky Park.

v  Batam yang mempunyai saiz hampir sama dengan Singapura merupakan pulau terbesar dalam kelompok Kepulauan Riau Indonesia.

v  Tambang feri dua hala dari terminal feri The Zone Stulang Laut ke Batam ialah RM125, termasuk cas tambahan bahan api.   


You Might Also Like

0 comments