Eko Resort Terbaik Asia
Menjaga keindahan alam semula jadi adalah satu daripada sebab kenapa
wujudnya banyak resort eko di negara Asia dewasa ini. Berikut adalah antara resort terbaik yang mendapat pengiktirafan dunia kerana berjaya mendekatkan orang ramai dengan alam semula jadi melalui konsep eko yang diketengahkan.
El Nido Resort
Miniloch, Filipina
Resort ini adalah antara resort eko terbaik yang ada di
Asia. Ia berada di dalam gugusan Pulau Palawan. Resort ini mengutamakan polisi
penjagaan alam sekitar yang efisien dan konsisten. Aktiviti yang dijalankan di
sini semuanya mempunyai impak yang rendah dan tidak mengganggu alam sekitar
seperti snorkel, berkayak, menikmati sinaran matahari di tepi pantai ataupun memanjat
bukit.
98 Acre Resort And Spa
Ella, Sri Lanka
Setiap chalet yang
terdapat di sini dibina dengan bahan-bahan kitar semula yang alami seperti kayu
dan batu. Ia bertujuan mendekatkan lagi penginapnya dengan alam semula jadi,
sekali gus menerapkan mereka dengan ilmu dan pengetahuan terhadap kepentingan
menjaga alam sekitar. Agak rustik tetapi reka bentuknya elegan dan melambangkan
gaya hidup penginapnya yang sentiasa mementingkan kemewahan.
The Sarojin
Phuket, Thailand
Terletak di Pulau
Pha Nga, Sarojin adalah resort eko terbaik yang terdapat di sana. Ia tampil
dengan reka bentuk moden tetapi mengekalkan prinsip yang melestarikan alam semula
jadi. Resort mewah bertaraf lima bintang ini amat sesuai untuk mereka yang
mencintai kedamaian dan kehijauan alam sekitar. Ia mencetus inspirasi yang
membuat jiwa merasa tenteram dan sempurna.
Ninh Van Bay Resort
Nha Trang, Vietnam
Ninh Van Bay Resort diiktiraf sebagai resort eko yang
menjaga baik kecantikan alam semula jadinya. Bilik-biliknya direka mengikut
bentuk bumi dan menggunakan 100% bahan semula jadi yang terdiri daripada kayu,
batu dan atap rumbia. Tetamu yang menginap di sini bukan sahaja ditawarkan
dengan pemandangan laut yang cantik, malah mereka juga ditawarkan dengan
perkhidmatan mewah yang menyenangkan.
4 Rivers Floating Lodge
Koh Kong, Cambodia
Rumah rakit berkonsepkan khemah ini direka
dengan penuh kemewahan. Ia berada jauh di ceruk pedalaman Sungai Tatai. Hanya
bot sahaja yang menjadi pengangkutan utama untuk ke sini. 4 Rivers Floating
Lodge walau bagaimanapun tetap menjadi pilihan pelancong dari serata dunia. Ia
menawarkan pengasingan yang menyenangkan di dalam kawasan hutan yang eksotik.
Muang La Resort
Oudomxay, Laos
Di kiri dan kanannya penuh dengan hutan, gunung ganang, kolam air panas dan sungai yang berusia ribuan tahun.
Biarpun nampak mundur tetapi panorama Muang La Resort dianggap yang terbaik
kerana tidak ternoda dek pembangunan. Kualitinya sebagai perkampungan semula
jadi adalah asas penting yang membuatkan Muang La Resort dihormati sebagai
resort eko terbaik di Laos.
Village Above The Clouds
Munduk, Bali
Village Above The Clouds ataupun Desa Atas Awan boleh disifatkan sebagai
resort yang unik. Ia membariskan banglo dan vila yang bercirikan reka bentuk
tempatan hasil sentuhan arkitek terkenal Bali. Resort ini terletak di kaki
bukit Munduk Andong Kelod. Ia merupakan simbolik penempatan kuno yang
mementingkan penjagaan dan penghayatan ke atas alam semula jadi.
Aureum Inle
Inle Myanmar
Sebahagian daripada tanah di tasik terkenal Mynamar ini
telah dijadikan resort yang mewah oleh Aureum Palace Hotel dan Spa. Biarpun
terpalit sedikit pembangunan, namun pihak pengurusannya tidak mengabaikan
kualiti penjagaan alam semula jadinya. Persekitarannya masih lagi menampilkan
pesona sebenar Inle yang kaya dengan keunikan flora dan fauna serta budaya
masyarakatnya.
Crosswater Ecolodge
Guandong, China
Dianggap sebagai syurga alam semula jadi kerana Crosswater Ecolodge jauh
daripada hiruk pikuk kota dan pencemaran. Ia dibina berdasarkan pendekatan
holistik yang mengutamakan keselesaan dan kesempurnaan alam sekitar. Di samping
itu, resort yang menjadikan buluh sebagai identiti binaannya juga dibina khusus
untuk meraikan konsep pelancongan eko.
EKSTRA
Resort eko merujuk pada resort, penginapan ataupun hotel
mewah yang menawarkan perkhidmatan berdasarkan tuntutan memelihara serta
memulihara alam semula jadi.
0 comments