Lorong Komuniti Kreatif
Kelainan konsep berjaya memperkenalkan imej Winn Lane yang selama ini
tersorok jauh di belakang lorong Fortitude Valley.
Winn Lane ataupun Winn Street Laneway merupakan tapak
niaga unik yang terletak di Ann Street. Ia berada betul-betul di belakang
lorong bangunan lama yang diiktiraf sebagai tapak warisan Fortitude Valley,
Brisbane.
Sesuai dengan konsepnya yang mendukung aspirasi kreatif
dan bebas, Winn Lane menempatkan beberapa buah kedai milik peniaga independent.
Setiap satunya mempunyai dekorasi unik yang menyerlah lagi keunikan warna Winn
Lane itu sendiri.
Kedai-kedai di sini pelbagai... Namun, jumlahnya terhad
dan tak melebihi daripada 10. Kedai kek, pakaian, buku, muzik, dan kafe adalah
antara yang setia menanti pengunjungnya pada setiap hari.
Winn Lane disifatkan sebagai tempat perkumpulan komuniti
kreatif Brisbane, pelancaran produk baru dan ruang mencari idea untuk mereka
yang mahukan kelainan. Ia tak berapa besar tetapi menjanjikan sesuatu yang
baru, unik dan kreatif pada sesiapa sahaja yang baru pertama kali
mengunjunginya.
Pada hujung minggu, Winn Lane akan berubah sifatnya. Ia
berubah menjadi tapak untuk pereka baru yang giat mencuba nasib di dalam dunia
perniagaan. Pada waktu ini, banyak barang yang diketengahkan. Begitu juga
dengan jumlah pengunjungnya. Ia lebih meriah dan menyeronokkan!
Biarpun saiz Winn Lane kecil, namun kewujudannya berjaya menambah
dan mempelbagaikan produk pelancongan Brisbane di samping menjadi hab untuk golongan
kreatif mengetengahkan bakat mereka.
0 comments