Taman Negara Kecil Gold Coast
Diiktiraf sebagai taman negara bersaiz kecil kerana Burleigh Head National
Park menyimpan pelbagai jenis khazanah flora dan fauna.
Burleigh Head National Park terletak di tepi pantai
sepanjang Tallebudgera Creek, Gold Coast. Taman negara seluas 30 kilometer persegi ini merupakan bukit
berlereng setinggi 80 meter yang dilengkapi dengan dua buah laluan, Rainforest
- menghubungkan orang ramai ke puncak bukit. Ocean View - menghubungkan orang
ramai ke platform untuk melihat pemandangan ke laut.
Burleigh Head mempunyai puluhan tumbuhan seperti bakau,
brush box, forest red gum, bunga raya dan swamp she-oak. Di samping itu, ia
juga merupakan rumah pada beberapa jenis haiwan liar seperti helang, koala,
biawak, landak, possum dan nuri.
Taman negara ini memainkan peranan penting terhadap ekosistem
alam semula jadi di Tallebudgera Creek. Aktiviti yang mencemarkan atau
merosakkan ekosistem alam seperti berkhemah sama sekali tidak dibenarkan di sini.
Burleigh Head juga merupakan medan penduduk tempatan
melakukan aktiviti rekreasi. Luan yang disediakan sering digunakan untuk
berjogging, berbasikal atau bersiar-siar sambil menikmati pemandangan Gold
Coast dari sisi yang tinggi.
Melihat ikan paus juga merupakan satu daripada aktiviti
popular di sana. Namun, ia bergantung pada keadaan. Jika bernasib baik,
pengunjung akan melihat sendiri ikan paus bermain-main di atas permukaan air
lautnya.
Pegawai Gold Coast Tourism, Ricky Dunn berkata, Burleigh
Head National Park mempunyai sejarah yang tersendiri. Pada zaman dahulu, kaum
lelaki tak dibenarkan sama sekali memanjat bukit ini. Ia hanya dikhususkan
untuk kaum wanita sahaja.
"Ia privasi... Hanya wanita sahaja boleh memanjat dan berkumpul di atas
puncak gunung ini. Mereka akan melakukan pelbagai aktiviti yang berkaitan
dengan hal wanita dari pagi hinggalah ke malam hari,” tambahnya.
0 comments