Jauh daripada kesibukan adalah persepsi pertama yang singgah di kotak fikiran sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Vientiane, Laos baru-baru ini.
Komunis
Namanya tak sepopular Vietnam ataupun Cambodia tetapi Laos ataupun Lao People's Democratic Republic (Lao PDR) adalah satu daripada negara Indo-China yang menjadi tumpuan ramai pelancong dari serata dunia.
Laos yang juga satu daripada 5 negara komunis dunia sedang membangun tetapi majoriti rakyatnya masih lagi bergantung pada pertanian.
Gambaran Laos sebagai sebuah negara pertanian boleh dilihat dengan jelas melalui bendang sawah dan kebun yang terdapat di hampir setiap bahagian kawasan luar bandarnya.
Menjejakkan kaki ke Laos sememangnya agenda penting yang dicatatkan dalam senarai kalender Lenjan Destinasi (LD) bagi tahun pengembaraan 2015.
Sifat ingin tahu dan keinginan untuk melengkapkan pengembaraan ke negara ASEAN juga mendorong LD berkunjung ke Laos yang bersempadan dengan China, Myanmar, Vietnam, Cambodia dan Thailand ini.
Vientiane
Ditemani 2 orang rakan, pengembaraan LD ke negara komunis ini dimulakan dengan menjejakkan kaki ke ibu negaranya iaitu Vientiane.
Tak macam Ho Chin Minh ataupun Phnom Penh, ibu negara Laos ini nampak lebih tenang dan jauh daripada kesesakan lalu lintas.
Tak banyak aktiviti yang dilakukan sepanjang berada di Vientiane selain dihabiskan dengan duduk di kedai makan dan berjalan-jalan sambil memerhatikan kehidupan masyarakatnya.
Kendengaran membosankan tetapi sebenarnya menyeronokan kerana dapat mengenali budaya dan aktiviti harian penduduk di sana.
Lao
Penduduk Laos ataupun gelarannya Lao tak banyak bezanya dengan orang Vietnam mahupun Thailand.
Lelakinya ada yang berkulit putih dan ada juga yang bersawo matang. Saiz mereka kecil dan kurus.
Begitu juga dengan kaum wanita mereka. Majoritinya tak jauh berbeza dengan wanita Thailand. Mereka mempunyai wajah yang menarik, kulit yang cerah dan badan yang kecil.
Lao sedikit pasif dan malu tetapi masih ramah apabila disapa. Malangnya mereka tak begitu fasih berbahasa Inggeris kecuali ayat-ayat yang ringkas berkaitan dengan harga barangan ataupun tempat.
Lebih baik mendiamkan diri kerana banyak bertanya boleh membuatkan mereka bingung dan meninggalkan meja perbualan.
Pekerjaan
Aktiviti Lao lebih banyak tertumpu di jalanan dengan berniaga makanan, minuman, pakaian dan kelengkapan rumah.
Namun, majoritinya berada di dalam industri perhotelan dan restoran kerana pelancongan adalah satu daripada pendapatan penting Laos selain pertanian.
Bagi mereka yang duduk di pinggir bandar pula, bertani dan memelihara haiwan ternakan adalah aktiviti utama yang menyara kehidupan.
Membawa tuk tuk juga termasuk salah satu pekerjaan yang popular terutama di kalangan kaum lelaki.
Laos menggunakan Kip Lao sebagai matawang dengan pecahan nilai yang terdiri daripada 2,000, 5,000, 10,000, 20,000, 50,000 dan 100,000.
Lao Kip sah dalam apa jua jenis urus niaga yang melibatkan jual beli barangan ataupun perkhidmatan.
Kip Lao 2,000 bersamaan dengan RM 1.02 tetapi nilai berkenaan hanya layak digunakan untuk mamasuki tandas awam.
Taraf hidup Lao rendah tetapi barangan di sini semuanya mahal kerana kebanyakannya adalah komoditi import.
Makanan Halal
Mencari makanan halal mudah di Laos kerana terdapat banyak restoran India Muslim dan Bangladesh.
Antara yang popular dan sering dikunjungi oleh orang Malaysia dan mereka yang beragama Islam ialah restoran Nazim dan Dhaka.
Namun, harga makanan di sini agak mahal dan jumlahnya mampu mencapai Kip Lao 50,000 (RM 25.43) untuk sekali makan.
Ekstra
Bahasa Laos lebih kurang sama dengan Thailand tetapi cara dan lenggok pertuturannya berbeza.
Thailand memberi ucap salam dengan Sawadee, manakala Laos pula memberi ucap salam dengan Sabaidee.