Dikuasakan oleh Blogger.

Blue Lagoon Berwarna Hijau

By 11:18 PTG , , ,

Namanya tidak melambangkan airnya yang berwarna hijau zamrud tetapi ia sinonim dengan penduduk tempatan dan pelancong asing yang mahu meluangkan masa di sini. 

Blue Lagoon sebenarnya cuma sebuah kolam biasa tetapi ia mencetus sensasi yang membuatkan sesiapa sahaja tidak mahu pulang selepas mengunjunginya.

Airnya dingin manakala suasananya pula permai kerana berada di kaki gunung dalam sebuah hutan yang jauh daripada bunyi bising kenderaan bermotor. 

Blue Lagoon tidak besar tetapi ia mampu menampung 10 hingga 20 orang dalam satu masa. 

Fizikalnya memanjang macam sebuah sungai, manakala di bahagian kiri dan kanannya pula terdapat beberapa ketul besar batu kapur yang menonjol keluar daripada permukaan air.

Blue Lagoon sebenarnya tidak  sesuai untuk mereka yang tidak tahu berenang kerana ia mempunyai kedalaman lebih kurang 10 kaki.

Namun, keseronokan bermain air di lagun tersebut boleh dinikmati dengan menyewa jaket keselamatan melalui perkhidmatan yang disediakan.  

Tidak mahal, harganya sekitar Lao Kip 10,000 (RM 5) untuk jangka waktu yang panjang. Di samping  itu, perkhidmatan menyewa tiub juga ada disediakan dengan harga yang lebih murah berbanding jaket keselamatan. 


Menuju ke Blue Lagoon dari Vang Vieng tidak sukar kerana tempat tersebut mudah diakses oleh pelbagai jenis kenderaan.

Kalau tidak mahu membayar tuk tuk dengan harga Lao Kip 150,000 (RM 75), bolehlah menyewa ATV, basikal ataupun motorsikal untuk dipandu sendiri.

Lebih kurang setengah jam masa diperlukan untuk sampai ke lagun ini yang jaraknya dari Vang Vieng kira-kira 7 kilometer.

Sebelum menikmati keasyikan Blue Lagoon, bayaran masuk sebanyak Lao Kip 10,000 (RM 5) dikenakan bagi setiap kepala. 



Aktiviti di Blue Lagoon tidak terhad sekadar pada bermain air atau bermandi-manda sahaja. Dalam masa yang sama, pengunjung juga berpeluang membuat aksi terjunan ekstrem dari atas pokok langsung menuju ke dalam lagun. 

Terdapat sebatang pokok besar yang dijadikan platform untuk orang ramai membuat terjunan.

Bagi yang berani, bolehlah memilih sama ada membuat terjunan rendah ataupun tinggi melalui 2 dahannya yang berada di atas lagun.

Bagi yang kurang berkeyakinan pula, bolehlah membuat terjunan melalui hayunan buaian dari atas tebing lagun. 




You Might Also Like

0 comments