Ao Nang Markas Pelancong Dunia
Kedudukannya yang strategik menyebabkan Ao Nang menjadi markas penting pelancong-pelancong dari serata pelusuk yang berkunjung ke Krabi.
Ao Nang menrupakan pekan pelancongan yang terletak di daerah Mueang Krabi, Krabi. Kedudukannya di tepi pantai menyebabkan Ao Nang menjadi satu daripada puluhan tarikan pelancongan penting yang terdapat di Thailand.
Sebagai markas ataupun pusat tumpuan pelancong, Ao Nang dipenuhi dengan restoran, kelab malam, hotel, spa dan kedai yang menjual aneka jenis barang. Persekitarannya bersih dan cantik tetapi sibuk dengan aktiviti pelancongannya.
Ao Nang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi. Hanya 45 minit sahaja diperlukan untuk ke sampai ke sini. Tak terasa jauhnya kerana mata leka melihat keindahan kampung dan bukit batu kapur yang menghiasi kiri dan kanan jalan rayanya.
Difahamkan, ramai pelancong lebih suka memilih Ao Nang berbanding tinggal di bandar Krabi yang terletak lebih kurang 18 kilemeter dari Ao Nang. Semuanya disebabkan oleh kemudahan asas yang tersedia di sana selain menjadi laluan penting untuk berkunjung ke Pulau Phi Phi, Pulau Chicken dan Pulau Poda.
Bagi mereka yang beragama Islam, mengunjungi Ao Nang adalah satu idea yang bernas. Pekan ini banyak menyediakan makanan halal sama ada di restoran mahupun warung yang ada di kiri dan kanan jalan kerana majoriti penduduknya beragama Islam.
INFO TAMBAHAN
- Ao Nang terkenal dengan pancake berperisa pisang dan cokelat nutella serta mangga pulut yang dijual oleh peniaga di tepi jalan.
- Makanan di sini harganya tak banyak berbeza dengan harga makanan di negara kita walaupun Ringgit Malaysia lebih tinggi daripada Thailand Baht.
- Pelbagai barangan cendera hati seperti pakaian dan rantai kunci boleh diperoleh di Ao Nang dengan harga yang murah.
- Jangan lepaskan peluang mengikuti aktiviti island hoping dan elephant trekking jika berkunjung ke Ao Nang kerana ia menawarkan pengalaman baru yang memuaskan hati.
- Kebanyakan pakej aktiviti yang ditawarkan di sini murah. Harganya cuma sekitar THB 1000-1500 (RM 100-150) termasuk pengangkutan dan makan tengah hari.
- Ao Nang mempunyai dua buah pantai yang sentiasa menjadi tempat orang ramai berehat dan bermandi-manda iaitu Nopparat Thara dan Rai Leh.
Mereka yang baru mendirikan rumah tangga disarankan agar berbulan madu di Ao Nang, Krabi kerana ia menjanjikan banyak keseronakan yang sukar dilupakan. |
0 comments