10 Tip Elak Penipuan Ketika Bercuti
Penipuan atau kecurian sewaktu mengembara ke suatu tempat baru boleh
disifatkan sebagai mimpi ngeri buat semua orang.
Menggusarkan
Penipuan atau kecurian bukan lagi isu baru di kalangan
pelancong. Ia sering menggusarkan sesiapa sahaja yang baru menjejakkan kaki ke
suatu tempat baru. Namun, semua itu boleh diatasi jika anda mengambil kira
beberapa tip dan pantang larang yang digariskan sebelum berseronok di negara
orang.
Elak Wallet, Guna Money Belt
Elak menggunakan wallet, sebaliknya gunakan money belt
kerana ia mampu menyelamatkan anda daripada penyeluk saku. Selain duit, ia juga
boleh memuatkan sekali barangan dan dokumen berharga seperti kad kredit, kunci
hotel dan pasport.
Elak Hubungan Media Sosial
Jangan sesekali berhubung dengan mana-mana individu yang
tidak dikenali di dalam media sosial sebelum berkunjung ke sesebuah negara kerana
ia boleh menjerat anda ke dalam sindiket jenayah.
Elak Kawasan Hitam
Elakkan mengunjungi atau mendiami kawasan hitam iaitu kawasan
yang tidak diketahui tahap keselamatannya. Sebaliknya, tinggal atau kunjungi
kawasan yang menjadi tumpuan ataupun didiami oleh orang ramai terutamanya
pelancong.
Elak Beri Bantuan
Membantu mereka yang memerlukan itu bagus tetapi membantu
mereka yang tidak dikenali di negara orang seperti menghulurkan derma ataupun
meminjamkan wang pada orang lain sebenarnya mengundang berlakunya kes penipuan.
Cari Agensi Yang Diiktiraf
Gunakan perkhidmatan agensi pelancongan yang diiktiraf
dan diluluskan lesennya oleh negara mereka kerana ia penting agar keselamatan
anda sentiasa terjamin sewaktu mengikuti sebarang aktiviti yang dilakukan.
Cari Pejabat Duta
Sentiasa mengambil tahu kedudukan dan nombor kakitangan
pejabat duta kerana ia amat penting terutamanya apabila berlaku hal-hal
kecemasan yang mengancam atau melibatkan keselamatan diri anda.
Jangan Biarkan Barangan Terdedah
Jangan biarkan barangan berharga terdedah ketika anda
berada di tempat orang ramai terutamanya taman, restoran ataupun pusat membeli
belah kerana ia memberi ruang berlakunya kes ragut.
Jangan Bawa Barangan Berharga
Elakkan memakai atau membawa barangan berharga seperti emas
ataupun beg berjenama kerana anda mungkin akan menjadi sasaran mudah penjenayah
yang tidak diketahui identitinya.
Kenali Mata Wang Asing
Kenali mata wang asing dan cuba fahami nilainya dengan
barang yang dibeli kalau tidak anda pasti diperdaya setiap kali membeli-belah di
kedai-kedai kaki lima ataupun pasar terutamanya ketika berkunjung ke negara
dunia ketiga.
Rajinkan Bertanya
Penipuan sebenarnya sering berlaku disebabkan oleh sikap
malas bertanya. Biasanya ia berlaku apabila seseorang itu menjalankan urus
niaga yang melibatkan jual beli barangan mahupun perkhidmatan.
0 comments