Dikuasakan oleh Blogger.

Itu Ini Perihal Taiwan

By 12:43 PTG ,


Menjadikan Taiwan sebagai destinasi percutian seterusnya merupakan pilihan yang bijak kerana negara tersebut juga memiliki produk pelancongan yang menarik dan memuaskan hati. 

Selamat
Tidak perlu risau ataupun gusar untuk menjejakkan kaki ke Taiwan kerana negara berbentuk pulau ini selamat dijadikan destinasi percutian. Banyak tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi. Tidak kira, sama ada di bahagian laut, darat, hutan ataupun bandar. Semuanya menjanjikan kelainan dan keunikan yang tersendiri. Taiwan yang dibahagikan pada bahagian tengah, utara, timur dan selatan turut mempunyai tarikan pada budaya, makanan dan kemajuan sistemnya.


Halal
Makanan halal? Tidak perlu risau kerana kerajaan Taiwan memang berusaha mengajak lebih ramai pelancong Muslim terutamanya rakyat Malaysia untuk berkunjung ke sana. Mereka komited memberikan sijil halal pada premis makan seperti hotel dan restoran melalui kerjasama yang dijalin dengan Chinese Muslim Association. Dianggarkan, lebih kurang 51 buah premis telah disahkan halal. 21 daripadanya berada di Taipei dan selebihnya berada di kawasan lain yang kerap dikunjungi pelancong. 


Basikal
Perkhidmatan basikal awam ataupun YouBike merupakan tarikan terbaru pelancongan Taiwan. Kerajaan mereka kini berusaha keras menggalakkan orang ramai termasuk pelancong agar menggunakannya berbanding bergantung harap sepenuhnya pada metro dan bas. Dengan hanya menggunakan kad kredit, pelancong boleh menggunakan YouBike dengan mudah, selamat dan cepat untuk menjejak beberapa tempat menarik sekitar Taipei seperti Tower 101, Taipei Artist Village, Daan Forest Park dan National Palace Museum.


Popular
Jangan lupa dapatkan kek nanas jika berkunjung ke Taiwan. Makanan ini adalah antara produk popular yang mendapat sambutan ramai. Rasanya sama macam tat nanas, bezanya ia berbentuk empat segi dan dibungkus dalam pakej yang menarik. Selain kek nanas, Mango Shave Ice juga adalah produk makanan popular yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Rasa dan adunannya yang sempurna membuatkan sesiapa sahaja ketagih untuk mendapatkannya.


Kolam Air Panas
Tahukah anda, Taiwan mempunyai lebih daripada 100 buah kolam air panas? Setiap satunya berada di bentuk muka bumi yang berbeza seperti lembah, gunung dan laut. Antara yang popular dan sering dikunjungi pelancong ialah Xinbeitou Hot Springs, Tai-an Hot Springs, Ruisui Hot Springs dan Guanziling Hot Springs. Majoritinya berkunjung ke kolam air panas ini untuk merehatkan minda sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang terdapat di kiri dan kanannya.


Pulau
Keindahan dan kecantikan Taiwan turut meliputi gugusan pulau-pulau kecil yang terdapat di sekitarnya seperti Little Liuqiu, Guishan Island, Matsu, Kinmen, Lanyu, Ludao dan Penghu. Setiap satunya menawarkan keunikan pantai dan kecantikan dasar laut yang tidak ada tolok bandingnya. Contohnya macam Little Liuqiu. Pulau ini terkenal dengan batu karang dan pembentukan batu aneh yang terdapat di pantainya. Manakala Lanyu pula terkenal dengan bangunan lama yang diwartakan oleh kerajaan Taiwan sebagai tinggalan sejarah era peperangan.


Membeli-Belah
Kunjungan ke Taiwan pastinya lebih sempurna dengan adanya aktiviti ringan seperti membeli-belah. Di sini, terdapat banyak pilihan gedung membeli-belah yang menjual aneka barangan seperti pakaian dan aksesori. Majoritinya berada di tengah-tengah bandar Taipei. Ada yang berprofil tinggi seperti Dunhua Shoppicng Area dan ada juga yang berprofil sederhana seperti Guanghua Market. Namun, setiap satunya menawarkan pelbagai rasa yang mampu mencetus sensasi ketika membeli-belah.


EKSTRA
New Taiwan Dollar ataupun NTD merupakan mata wang Taiwan yang mempunyai persamaan nilai lebih kurang NTD 10 = RM 1.

You Might Also Like

0 comments