Dikuasakan oleh Blogger.

Antara Wang Dan Masa

By 10:03 PG , ,


Perspektif percutian melalui kedua-dua jenis ukuran ini amat penting untuk diambil kira kerana setiap satunya mempunyai peranan tersendiri pada percutian yang dirancang. 

Cara berlibur pada kali ini cuba mengetengahkan justifikasi terhadap sebuah percutian yang dirancang melalui nilai ukuran wang dan masa. Setiap satunya dipercayai mampu mempengaruhi percutian yang dirancang jika tidak diuruskan dengan betul. Daripada pemerhatian dan kajian yang dibuat oleh LIBUR, anda mungkin akan berdepan dengan kehabisan wang yang cepat dan kegagalan menikmati percutian dengan sempurna jika gagal menekankan pilihan faktor yang dinyatakan ini. 


Masa Sebagai Keutamaan
Golongan yang menekankan faktor masa biasanya mempunyai bajet yang besar ketika melancong. Mereka sanggup membayar lebih asalkan tidak menunggu lama, bergerak di dalam kawasan yang selamat, tinggal di tempat yang selesa dan menikmati percutian dengan aman tanpa sebarang gangguan ataupun risiko. Apa yang mereka hajatkan hanyalah percutian yang sempurna dan menyeronokkan walaupun terpaksa melaburkan sejumlah wang yang besar.

Namun, golongan ini biasanya tidak akan bercuti lama apabila berada di sesebuah negara. Masa mereka biasanya terhad kerana sibuk dengan tanggungjawab di negara sendiri. Mereka ini biasanya terdedah memilih percutian kerana mahu menenangkan minda ataupun melepaskan lelah selepas penat bekerja dalam jangka waktu yang panjang. Jika anda adalah golongan yang mementingkan masa, bersedialah untuk melaburkan sejumlah wang yang banyak untuk bercuti ataupun melancong.


Wang Sebagai Keutamaan
Lain pula halnya dengan golongan yang mementingkan wang. Masa bukanlah ukuran nilai yang diutamakan. Mereka biasanya akan merancang percutian dengan perbelanjaan yang minimum tetapi berbaloi. Golongan ini tidak kisah tinggal di hotel murah, menunggu dalam jangka waktu yang lama atau bercampur dengan penduduk setempat yang tidak dikenali. Apa yang mereka hajatkan lebih daripada sebuah percutian iaitu pendidikan dan pengalaman yang tidak pernah dirasai.

Golongan yang mementingkan wang terdedah pada percutian dalam jangka waktu yang lama. Mereka ini biasanya tahu menguruskan wang dengan baik dan sentiasa mengamalkan amalan berjimat-cermat. Malah, mereka juga bukanlah golongan yang gemar membeli-belah ketika mengembara. Wang mereka hanya disalurkan pada hal-hal yang penting sahaja seperti kenderaan, tempat tinggal dan makanan. Atas sebab itu, golongan ini sentiasa menjaga kewangan mereka agar sentiasa mencukupi.


Pengembara Yang Bijak 
Apa pun pilihan yang dibuat, ia pasti akan menyempurnakan impian percutian yang dirancang. Bezanya, anda cenderung menghabiskan wang yang banyak ataupun waktu yang panjang ketika bercuti. Justeru, jadilah seorang pengembara yang bijak mengadaptasi nilai ketika bercuti. Tujuannya agar anda berpuas menikmati apa yang dimahukan. Tidak kira, sama ada wang ataupun masa. Yang penting, definisi percutian yang dimahukan tercapai maksudnya.

EKSTRA
Mereka yang memilih masa sebagai keutamaan ketika bercuti biasanya tergolong dalam pengembara jenis backpack dan adventure traveller. 

You Might Also Like

0 comments