Vigilious Mountain Resort - Percutian Di Puncak Gunung
Bersemayam tinggi pada kedudukan 1500 meter dari aras laut, Vigilious
Mountain Resort adalah pusat peranginan mewah yang terletak di Lana, Itali. Ia
menjanjikan ketenangan dan kedamaian yang diimpikan oleh setiap orang kerana
jauh daripada aktiviti tengah bandar yang melemaskan.
Pusat peranginan ini tidak menyediakan sebarang perkhidmatan bas ataupun teksi.
Ia hanya menggunakan perkhidmatan kereta kabel untuk membawa naik dan turun pengunjungnya.
Tidak lama, hanya beberapa minit diperlukan sebelum sampai ke pusat peranginan
impian ramai ini.
Tidak ada kesesakan lalu lintas ataupun bunyi hon yang membingitkan. Malah,
sambungan Wi-Fi juga tidak disediakan di sini. Yang ada hanya kesunyian, tompok-tompok
awan, semilir dan gunung-ganang Dolomites sahaja. Setiap satunya setia menjadi
peneman kepada mereka yang berkunjung ke hotel bertaraf lima bintang ini.
Vigilius Mountain Resort mempunyai lebih kurang 41 buah bilik yang terdiri
daripada Superior, Deluxe dan Suites. Semua biliknya itu menerapkan kepentingan
alam semula jadi dengan menjadikan kayu, tanah liat dan kain linen sebagai
elemen utama pembinaannya.
Reka bentuk dan konsepnya tidak menonjol tetapi memberikan keselesaan dalam
kemewahan. Ia sesuai untuk mereka yang berada dalam tempoh bulan madu ataupun
sedang mengasingkan diri kerana mahu ketenangan selepas berperang dengan
bebanan kerja yang berat.
EKSTRA
Dolomites merupakan rangkaian gunung
di timur laut Itali yang membentuk pergunungan Alps Bahagian Selatan. Ia terkenal di kalangan pelancong
kerana menjadi tapak sukan ekstrem popular seperti skii, hiking, climbing, bungee jumping, base jumping
dan paragliding.
0 comments