Platform Peminat Mandarin Oriental
Melihatkan kepentingan media sosial dalam membantu mengukuhkan jenamanya,
Mandarin Oriental langsung melancarkan Fans of MO.
Fans of MO merupakan platform sosial media yang dibuat
khusus untuk mereka yang pernah menginap di mana-mana hotel Mandarin Oriental.
Ia membenarkan tetamunya untuk berkongsi gambar, nota kegemaran dan pengalaman
terbaik sewaktu mereka menginap di hotel terkemuka dunia ini.
Dengan mewujudkan profil tetamu di dalam
mandarinoriental.com, tetamu boleh berkongsi momen indah melalui gambar dan menjelaskan
kenapa mereka menjadi peminat Mandarin Oriental. Pengalaman ini kemudiannya
boleh dilihat oleh pelawat yang mengakses masuk ke dalam laman web hotel
berkenaan.
Mereka yang melawat masuk ke dalam laman web Mandarin
Hotel berpeluang menyaksikan pengalaman tetamu melalui pelbagai jenis gambar
dan status yang dimuat naik. Bagi menjadikannya nampak lebih peribadi dan
eksklusif, setiap status yang dimuat naik disertakan sekali dengan identiti nama
bermonogram tetamu.
Jill Kluge, Pengarah Kumpulan Komunikasi Jenama Mandarin
Oriental berkata, “Ramai tetamu kami yang telah berkongsi pengalaman mereka
melalui media sosial dengan menggunakan hashtag #FanofMO. Jadi, kami berusaha meluaskan
isi kandungan sosial ini di dalam laman web dengan menyediakan cara yang paling
kreatif untuk mereka mengenali hotel kami di serata dunia.”
Fans of MO juga membenarkan penggunanya untuk membuat
tempahan bilik secara terus melalui platform ini dengan menekan fungsi ‘Reserve
This Experience’ yang terdapat di bawah status tetamu. Di samping itu, mereka
juga boleh berkongsi status yang dimuat naik menerusi Facebook, Twitter dan
Pinterest.
Fungsi unik lain yang terdapat pada Fans of MO ialah status
istimewa daripada artis antarabangsa yang menjadi peminat Mandarin Oriental dan
carian spesifik terhadap pengalaman tertentu seperti Art & Design, Destination,
Service, Food & Wine dan Spa & Wellness.
0 comments